Al-Quran Dirumikan Menggunakan Abjad Roman/Latin ‘Haram’ Digunakan

Saya terbaca sebuah artikel berita berkaitan isu Al-Quran yang dirumikan mengunakan abjad Roman/Latin adalah ‘haram’ untuk digunakan.

Kalau tuan puan nak tahu terjemahan boleh dibahagikan kepada 3 kaedah.

Iaitu harfiah, makna dan fonetik.

Apa benda pula tu ustaz? tak pernah dengar pun.

Jom kita tengok satu-satu maksud disebalik kaedah-kaedah diatas.

Terjemahan Secara Harfiah

Terjemahan secara harfiah ini dilarang kerana Al-Quran itu bersifat bahasa Arab yang mu`jiz (mengalahkan).

Disebabkan Al-Quran bersifat bahasa Arab maka tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya.

Syeikh al-Zurqani menyatakan definisi terjemahan Al-Quran secara harfiah:

إن لاحظ في هذه الترجمة ترتيب ألفاظ القرآن فتلك ترجمة القرآن الحرفية أو اللفظية أو المساوية

Maksudnya: Jika terjemahan itu berlaku secara teliti mengikut tertib lafaz-lafaz Al-Quran maka itu dianggap menterjemahkan Al-Quran secara harfiah, literal dan persamaan.”

Dalam Firman Allah Taala:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُواْ بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لاَ يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

(Surah al-Isra’, 17:88)

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Maksudnya: Dan sebagaimana (Kami tetapkan engkau hanya penyampai), Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab…

(Surah al-Syura, 42:7)

Allah SWT menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab kerana seni bahasa dan susunan yang terdapat dalamnya itu mampu mengalahkan pertuturan manusia.

Jika Al-Quran diterjemahkan kepada bahasa lain, maka hilanglah mukjizat al-Quran.

Perkara ini berlaku kepada Yahudi dan Nasrani.

Para rahib mereka menukar ayat-ayat Allah mengikut hawa nafsu.

Sebab itulah terdapat pelbagai versi terjemahan Injil dan Taurat yang tidak selari antara satu sama lain setelah diterjemahkan daripada bahasa Ibrani.

Terjemahan Secara Makna

Penterjemahan menggunakan kaedah ini adalah diharuskan oleh syarak.

Kerana pada hakikatnya ialah tafsir kepada Al-Quran dalam bentuk yang bukan menggunakan bahasa Arab.

Bagaimanapun kaedah ini perlu mengikut syarat-syarat tertentu.

Ianya untuk memelihara makna-makna ayat suci Al-Quran.

Berkata Syeikh al-Zurqani:

وإن لم يلاحظ فيها هذا الترتيب فتلك ترجمة القرآن التفسيرية أو المعنوية

Maksudnya:Dan jika penterjemahan itu tidak berlaku secara teliti pada tertib maka itu dinamakan penterjemahan Al-Quran secara tafsir dan maknawi.”

Terjemahan Fonetik

Terjemahan jenis ini adalah penulisan teks-teks Arab bagi Al-Quran dalam bahasa lain.

Ianya bertujuan untuk membantu pembaca yang bukan Arab untuk menyebut dengan sebutan Arab.

Sebahagian ulama mengharuskannya.

Imam Syihabuddin al-Ramli berkata terjemahan fonetik tidak diharamkan kerana penulisan itu menunjukkan kepada lafaznya yang berbahasa Arab dan tiada padanya sebarang perubahan bagi Al-Quran.

Akan tetapi menterjemah Al-Quran adalah haram selain daripada bahasa Arab kerana hal itu menyebabkan perubahan bagi Al-Quran.

Kesimpulannya, menulis Al-Quran menggunakan huruf Roman adalah haram pada asalnya.

Ini kerana ulama sepanjang zaman, salaf dan khalaf, telah bersepakat bahawa Al-Quran hendaklah ditulis dengan menggunakan metod Rasm Uthmani.

Ini bagi mengelakkan pengurangan dan penyelewengan lafaz yang membawa kepada perubahan dan kerosakan makna.

Kerana sifat Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab dan memiliki mukjizat yang tersendiri.

Sumber Rujukan : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Sertai Kelas Bimbingan Individu

Masa pembelajaran adalah fleksibel dan anda boleh mengatur masa belajar mengikut kesesuaian