Apakah Hukum Memegang Tafsir Al-Quran Dalam Keadaan Berhadas?

Boleh atau tak kalau seseorang itu dalam keadaan berhadas untuk pegang tafsir Al-Quran? Kalau tengah pegang tiba-tiba terbuang angin? Alamak.

Jumhur ulama mengatakan dibolehkan kalau nak sentuh, bawa dan mengulangkaji tafsir Al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat Al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub.

Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna dari al-Quran dan bukan membacanya.

Ini adalah pendapat yang zahir dari mazhab Maliki dan juga Hanbali. Disebutkan di dalam Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki Rahimahullah:

يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ

Maksudnya: Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni:

وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ

Maksudnya: Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada Al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat Al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya.

Kalau mazhab Syafie’ haram menyentuh dan membawa tafsir kalau ayat Al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya.

Sekiranya tafsir lebih banyak daripada ayat Al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.

Kesimpulannya dibolehkan untuk menyentuh dan membawa tafsir Al-Quran dalam keadaan berhadas untuk mengulangkajinya.

Tapi tafsirnya itu melebihi kandungan ayat Al-Quran.

Dan sebaik-baiknya biarlah dalam keadaan berwuduk.

SUMBER : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Klik disini untuk mengetahui hukum memegang Al-Quran bagi wanita yang sedang Haid.

Sertai Kelas Bimbingan Individu

Masa pembelajaran adalah fleksibel dan anda boleh mengatur masa belajar mengikut kesesuaian