Jemaah Buta Huruf Yang Celik Al-Quran

 

Perjalanan umrah kali ini benar-benar bermakna. Allah memberi pengajaran mahal melalui Jemaah lain yang ada di sekitar.

Selalunya begitu, cerita orang itu pedoman untuk refleksi diri sendiri. Terserah kepada kita untuk mentafsir dengan mata hati.

Ini kisah seorang Jemaah yang buta huruf namun istiqomah mengaji untuk kita renungi.

Apakah alasan kita yang pintar dari segala segi hari ini jika tidak mahu membuka buku keramat yang Allah beri.

Nikmat apakah yang kita mahu dustakan hari ini?

 

q

 

Usai solat magrib di Masjid Nabawi, saya menghela nafas panjang dan cuba meluruskan kaki. Niat hati mahu berehat sebentar dan iktikaf di masjid sementara menunggu waktu Isya’ masuk sebentar lagi.

Senyuman di berikan kepada Jemaah di kiri dan kanan yang rata-rata tidak mahu berganjak dari saf mereka.

Di sebelah saya, seorang Jemaah berbangsa Afrika di sekitar umur 50-an, sedang membelek-belek Al-Quran yang baru di ambil dari rak masjid. Al-Quran wakaf dari Jemaah-jemaah umrah dan haji yang datang sebelum ini.

Tiba-tiba, saya terasa baju saya ditarik-tarik. Jemaah Afrika itu memberikan Al-Quran yang di pegang tadi kepada saya.

Muka surat terakhir dari Juzu’ 30 siap dibuka. Ditunjuk-tunjuk surah terakhir dalam Al-Quran itu. Dia berkata sesuatu dalam bahasa negaranya.

Saya bingung dan memandang mukanya dengan pendangan kosong. Mahu berbicara dengan beliau, dia tidak fasih berbahasa Inggeris. Seperti ayam dan itik kami berbual.

Mungkin dia mahu saya baca. Tiba-tiba, perkara itu terdetik di hati.

Saya pun mula membaca, surah An-Nas. Bismillahirahmanirahim… Qul a’u zubirabbinnas..

Kemudian, Jemaah itu mengangkat tapak tangannya sebagai isyarat untuk saya memberhentikan bacaan saya. Saya akur dan terus diam.

Sahabat beliau di sebelah hanya memerhati. Jemaah itu mengulang bacaan surah an-Nas tadi dan menghabiskan sehingga ayat yang terakhir. Alhamdulillah.

 

q2

 

Kemudian, dia menunjukkan pula kepada surah Al-Falaq. Maka, saya mula bacakan ayat pertama seperti tadi.

Sama seperti sebelum ini, dia minta saya berhenti dan mengulang serta menghabiskan sehingga ayat terkahir surah tersebut. Diteruskan lagi kepada surah yang lain, makin menaik dan panjang-panjang surahnya.

Barulah saya faham, beliau sebenarnya meminta bantuan untuk saya memberi petunjuk, surah apakah yang ditulis dalam Al-Quran itu.

Dia buta huruf. Dia belajar melalui mendengar sahaja sebelum ini. Tapi, itu tidak pernah memadamkan semangat beliau mahu terus mengaji dan mendapat keredhaan Allah.

Dari satu surah ke satu surah, tanpa saya sedari, air mata mengalir di pipi saya.

Dia yang berumur 50-an itu menghafal dan rapat sekali dengan Al-Quran. Kekuatan memori beliau tidak dapat dinafikan.

Kami yang muda remaja ini, malu dengan semangat waja dan ketekunan yang ditunjukkan. Bacaannya cukup lancar seperti membaca buku cerita. Saya pasti bahasa Al-Quran itu juga bukan bahasa ibunda negara asalnya, sama seperti saya.

Namun, dia tetap berusaha. Saya pula, yang lancar membaca, muda, kuat ingatan kononnya, secara batin tiada kekuatan langsung untuk menghafal berpuluh surah seperti dia.

Tasmik bacaan malam itu, semakin lancar dari satu surah ke satu surah. Sesekali, saya akan membetulkan bacaan kalau dia tersalah menyambung ayat.

Keseluruhannya, saya hanya menjadi pendengar setia. Setiap kali kami maju ke surah yang lain, hati saya berdebar, banyak lagikah surah yang dia telah hafal?

Azan Isya’ malam itu menghentikan bacaan Jemaah itu. Paling tidak, saya yakin, juzu’ 30 itu sudah ada dalam genggamannya. Juzu’-juzu’ yang lain juga tidak pelik jika dia mampu hafal sama.

Sikapnya yang tenang membaca setiap surah tadi membuatkan saya yakin dia sangat akrab dengan wahyu-wahyu Allah yang telah dibukukan itu.

 

q3

 

Jemaah itu mengucup dahi saya serta memeluk erat kerana sudi membantunya membaca hampir keseluruhan juzu’ 30 Al-Quran malam itu.

Sebuah tasbih dengan manik-manik kayu besar yang menjadi mainan zikirnya ditinggalkan buat saya sebagai kenang-kenangan.

Atau mungkin, ia hadiah Illahi agar saya tidak akan lupa. Agar saya sentiasa mengingati semangat membaca Al-Quran seorang hamba yang buta huruf tetapi bukan buta hati.

Insaf.

.

 

Kisah benar ini disumbangkan oleh Puan Sabrina Ismail dari Sabah.

Anda ada kisah inspirasi berkenaan Alquran ingin disumbangkan kepada kami?

Share artikel ini di:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Sertai Kelas Bimbingan Individu

Masa pembelajaran adalah fleksibel dan anda boleh mengatur masa belajar mengikut kesesuaian