Membaca Surah Al-Ikhlas Sebanyak 3 kali Anda Sudah Khatam al-Quran?

Tidak dinafikan bahawa Nabi SAW sendiri menyatakan kelebihan membaca surah Al-Ikhlas iaitu satu kali bacaan menyamai 1/3 Al-Quran.

Hadith riwayat Abu Sa’id Al-Khudri RA berbunyi :

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ

Maksudnya : “Demi jiwaku di tanganNya, sesungguhnya surah Al-Ikhlas benar-benar menyamai 1/3 Al-Quran.”

(Sahih Al-Bukhari, kitab Fadha’il Al-Quran, bab Fadhal Qul Huwa Allah Ahad)

Ibn Baz berkata :

نعم صحيح، وهي تعدل ثلث القرآن بنص الرسول عليه الصلاة والسلام، لكن من قرأ القرآن وكمله يكون أكمل من جهة تدبر القرآن والفائدة، ولكنها بمنزلة إذا قرأها ثلاث مرات بمنزلة الختمة من جهة الأجر، أما ما يتعلق بالفوائد والتدبر والتعقل فلا شك أن الذي يقرأ القرآن يكون له كمال آخر وفضل آخر لكثرة الفائدة. نعم.

Maksudnya : “Ya sahih. Bacaan surah Al-Ikhlas sekali menyamai 1/3 al-Quran berdasarkan nas Rasulullah SAW.

Akan tetapi, sesiapa yang membacanya dan menyempurnakannya dengan mentadabbur dan mengutip faedah, maka keadaan dia lebih sempurna.

Orang yang membaca 3 kali akan mendapat pahala.

Dalam bab yang berkaitan dengan faedah-faedah, tadabbur dan berfikir, maka tidak syak lagi sesiapa yang berbuat demikian akan mendapat kesempurnaan dan kelebihan yang lain kerana banyaknya faedah. Ya.”

Ibn Baz membahagikan muslim kepada 2 bahagian.

  1. Jika kita sekadar membaca surah ini sebanyak 3 kali maka kita mendapat pahala membaca al-Quran sepenuhnya 30 juzuk.

2. Muslim yang menghayati surah tersebut dan mengamalkannya dalam kehidupan maka mereka mendapat kelebihan yang lain.

Kesimpulannya, bila kita sudah tahu kebaikan surah Al-Ikhlas ini janganlah sampai meninggalkan surah yang lain.

Sebaik-baiknya ialah kita membanyakkan bacaan surah Al-Ikhlas dan cuba memahami maksud dan tujuannya.

Sertai Kelas Bimbingan Individu

Masa pembelajaran adalah fleksibel dan anda boleh mengatur masa belajar mengikut kesesuaian