Rasakan Keajaiban Membaca Surah-surah Dalam Al-Quran (Bahagian 1)

Al-Quran adalah sebuah mukjizat yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan mengandungi surah-surah yang merupakan petunjuk kepada manusia.

Ada banyak riwayat yang sahih menyebutkan bahawa membacanya adalah pahala.

Semakin elok bacaan kita semakin bertambahlah pahala yang Alllah SWT berikan.

Setiap surah-surah di dalam Al-Quran mempunyai kelebihan dan keajaiban tersendiri.

Antara surah-surah di dalam Al-Quran, inilah 10 surah yang mempunyai keajaibannya :

Surah Al-Fatihah

Sebelum tidur, anda boleh mengamalkan Surah Al-Fatihah kemudian membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.

InsyaAllah ketika anda tidur anda akan rasa tenang dan dijauhkan daripada gangguan syaitan.

Anda juga digalakkan membaca surah Al-Fatihah sebanyak 44 kali sebagai penawar sakit mata, perut, gigi dan lain-lain lagi dengan izin Allah SWT.

Untuk mengelakkan kemurkaan Allah SWT, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

Surah Yassiin

Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki jantung dan hati, jantung Al-Quran adalah surah Yassiin.

Sesiapa membaca surah Yassiin maka Allah menetapkan baginya pahala menyamai membaca Al-Quran sepuluh kali.” 

(HR. Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga bersabda : “Surah Yassiin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat.

Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan.

Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.” 

(HR. Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).

Bukan itu sahaja, anda digalakkan untuk mengamalkan surah Yaasin, kerana surah ini dapat menyelamatkan kita daripada kehausan di hari kiamat kelak.

Surah Ad-Dukhan

Surah Ad-Dukhan perlu dibaca setiap malam Jumaat agar kita terselamat daripada huru hara di Padang Mahsyar.

Keajaiban Surah Ad-Dukhan juga Malaikat akan memohon keampunan kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca Ad-Dukhan di waktu malam, maka tujuh puluh ribu (70 000) malaikat memohon ampun untuknya.” 

(HR. Tirmidzi)

Surah Al-Waqiah

Ibnu Mas’ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca Surah Al-Waqiah setiap malam, maka ia tidak ditimpa akan merasai kepapaan untuk selamanya.” 

(HR. Baihaqi)

Sesiapa yang membaca Surah ini sebagai wirid insyaAllah akan memperolehi kesenangan hidup selama-lamanya.

Amalkan juga surah ini sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar insyaAllah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak.

Selepas solat Isyak ambil segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali.

Tiup dalam air dan minum.

Niat dalam hati untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.

Makna Surah Al-Waqiah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”

Surah Al-Mulk

Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Menurut beberapa hadis Rasulullah SAW, mereka yang mengamalkan surah ini akan mendapat syafaat dan keampunan.

Mereka yang membacanya pada setiap malam insyaAllah akan terselamat daripada azab kubur.

Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya ada sebuah surah dari Al-Quran yang terdiri dari 30 ayat, ia memberi syafaat bagi seseorang (yang membacanya) hingga diampuni dosanya, yakni Tabaarakal ladzi biyadihil mulku (Surah Al- Mulk).” 

(HR. Admad dan Ibnu Hibban)

Sertai Kelas Bimbingan Individu

Masa pembelajaran adalah fleksibel dan anda boleh mengatur masa belajar mengikut kesesuaian