Pernah tak tuan puan dengar atau melihat orang mencium kemudian letak Al-Quran di dada selepas baca Al-Quran?
Apakah hukum berbuat begitu ya?
Sebenarnya hukum mencium Al-Quran telah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama.
Pada pendapat yang masyhur di sisi ulama Al-Hanabilah adalah dibolehkan mencium Al-Quran kerana itu adalah perbuatan yang memuliakan Al-Quran.

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad Rahimahullah perbuatan tersebut adalah sunat.
Diriwayatkan daripada Umar RA:
كَانَ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ كُلَّ غَدَاةٍ وَيُقَبِّلُهُ، وَيَقُول: عَهْدُ رَبِّي وَمَنْشُورُ رَبِّي عَزَّ وَجَل
Maksudnya: “Beliau mengambil Al-Quran setiap pagi (antara fajar hingga terbit matahari) lalu menciumnya sambil berkata: “Perjanjian Tuhanku dan penyebaran Tuhanku”.
Di samping itu, Uthman RA juga mencium Al-Quran dan menyapunya di wajahnya.

Selain itu, terdapat fatwa dari negara Jordan tentang hukum mencium Al-Quran dibolehkan kerana itu hal memuliakan dan menyucikan Al-Quran.
Sama seperti seseorang itu mencium Al-Hajar al-Aswad bagi memuliakannya.

Kesimpulannya, mencium Al-Quran selepas baca dibolehkan dengan tujuan memuliakan kedudukan Al-Quran kerana ia merupakan kalam Allah SWT.
Perbuatan meletakkan Al-Quran di dada dan kepala tidak terdapat sumber daripada hadith mahupun daripada perbuatan para sahabat RA.
Akan tetapi perbuatan tersebut menyerupai perbuatan mencium Al-Quran maka ia dibolehkan jika bertujuan memuliakan Al-Quran. Wallahua’lam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan