Sejarah Awal Celik Alquran

Celik Al-Quran diasaskan oleh Ustaz Syukur Sapuan. Sebelum ini beliau merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di selatan tanah air.

Sewaktu di sekolah, beliau mendapati ramai anak-anak muridnya menghadapi masalah dalam mengenal huruf seterusnya tidak mahir mengaji Al-Quran.

Atas inisiatif beliau, beliau mencari kaedah dan teknik pengajaran sehingga tercetuslah program Celik Al-Quran. Beliau mengkaji, membaca, dan belajar pelbagai kaedah dan teknik mengajar mengaji melalui kelas-kelas, seminar dan bacaan buku.

Setelah itu beliau dapati, wujud banyak kaedah-kaedah pengajaran Al-Quran di Malaysia dan Indonesia. Beliau belajar kaedah-kaedah ini, seterusnya memurnikan dan mempermudahkan kaedah-kaedah ini seterusnya berkongsi semula dengan anak-anak muridnya di sekolah.

Pada mulanya beliau kongsikan program ini kepada anak-anak murid beliau sahaja di sekolah. Namun, apabila beliau berkongsi teknik pengajaran ini kepada anak-anak muridnya wujud pula permintaan daripada golongan dewasa untuk belajar mengaji Al-Quran dari asas mengenal huruf.

Pada mulanya beliau tidak menyangka masih ramai golongan dewasa yang masih belum boleh mengaji Al-Quran. Realitinya sangat ramai golongan dewasa yang masih belum boleh mengenal huruf seterusnya bermasalah dalam mengaji Al-Quran.

Atas sebab ingin fokus sepenuhnya membantu golongan dewasa belajar mengaji beliau mengambil keputusan cuti tanpa gaji seterusnya berhenti sebagai guru di sekolah bermula Januari 2015.

Program Celik Al-Quran untuk dewasa bermula melalui penganjuran seminar-seminar dan bengkel-bengkel intensif mengenal huruf dan tajwid pada 2015 – 2017.

Disebabkan kebanyakan seminar dan bengkel dijalankan di sekitar lembah klang sahaja, wujud permintaan daripada para peserta yang turut ingin hadir belajar namun tidak berkesempatan atas faktor jarak yang jauh diantara lokasi seminar dengan tempat tinggal mereka.

Maka bermula 2017, Celik Al-Quran telah menghasilkan Kit Mengaji yang membolehkan pelajar belajar menerusi konsep ‘self learning’ dengan cara pembelajaran interaktif menggunakan buku yang dipandu dengan video pembelajaran.

Apabila semakin ramai pengguna video, wujud pula permintaan untuk menghadiri kelas bimbingan secara perseorangan. Maka bermula Disember 2018, program Kelas Bimbingan Individu (KBI) dijalankan di pejabat Celik Al-Quran iaitu di Bandar Baru Bangi.

Menerusi program KBI, setiap pelajar akan dibimbing secara individu bersama seorang guru. Walaupun sesi KBI ini dijalankan di Bangi, atas semangat ingin belajar mengaji, ada pelajar yang turut hadir dari luar lembah klang untuk hadir belajar mengaji seperti dari Kuantan, Seremban dan Segamat.

Apabila Covid-19 melanda dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac 2020, program kelas secara fizikal tidak dapat dijalankan.

Maka, mengambil inisiatif untuk terus membantu pelajar Celik Al-Quran adalah antara kelas mengaji terawal yang mengadakan sesi pembelajaran secara atas talian (online) menerusi penganjuran program sesi Seminar Kenal Huruf Online (KHO) dan juga Kelas Bimbingan Online (KBO).

Sehingga hari ini, Celik Al-Quran terus konsisten membantu golongan dewasa belajar mengaji secara atas talian dan juga secara fizikal berhadapan.

Didoakan Celik Al-Quran dapat berterusan membantu masyarakat dekat kepada Al-Quran dan Islam dan ia terus kekal membantu sehingga hari kiamat. Allahumma ameen. InsyaAllah.

Visi

Menjadi pusat mengaji dewasa dari semudah mengenal huruf hingga dapat mengaji dengan betul sebelum ajar.

Misi

  1. Menyediakan program mengaji orang dewasa mengenal huruf seawal satu hari
  2. Membantu memudahkan orang dewasa terus menerus mengaji hingga akhir hayat.
  3. Bantu tenaga pengajar mengajar dengan mudah, berkesan & menenangkan hati pelajar dewasa. (Simplified, Praise, Care)